Teringat saya akan satu kisah, mengenai tiga doa Rasulullah. Dua dimakbulkan dan satu tidak diperkenankan. Satu doa yang tidak diperkenankan itu adalah, Rasulullah meminta kepada ALLAH agar ummatnya tidak bermusuhan dan bertumpah darah sesama sendiri.
Nyata, keadaan sedih ummat ISLAM hari ini bermula dengan persengketaan sesama mereka.
Apabila ada orang mentertawakan, menghina, memandang jelik atau benci dengan kerja kita, padahal kita telah berusaha dengan cara yang terbaik untuk menjaga diri kita dari melukakan hati orang lain serta menganggu kehidupan manusia lain, maka sebaiknya kita biarkan sahaja mereka ini.
Orang yang mentertawakan kita, mungkin tidak nampak apa yang hendak kita capai. Malah, mereka ini berkemungkinan berhati busuk untuk menghentikan kerja-kerja kita. Hal ini kerana, jika mereka berniat baik untuk membetulkan kita, meluruskan jalan kita, dan mengislahkan kerja-kerja kita, maka jalan yang mereka ambil adalah jalan teguran, bukan hinaan dan merendah-rendahkan.
Berdiri berdebat mempertahankan diri dengan orang yang sebegini hanya akan mengurangkan kredibiliti kita. Mereka ini hakikatnya adalah orang-orang yang jahil, yang perlu untuk kita sabar dengannya dan mereka ini juga merupakan ujian dalam perjalanan kita untuk mendekati ALLAH.
ALLAH menyebut di dalam Surah Al-Furqan di dalam ayat 63, antara sifat-sifat ‘Ibad Ar-Rahman adalah,
“ Apabila orang-orang jahil menghina mereka, maka mereka mengucapkan kesejahteraan.”
Kerana, berdebat dengan mereka pun tiada guna, mereka tidak akan memahaminya kerana kejahilan mereka.
Jika mereka hendak mentertawakan kita, merendah-rendahkan kita, biarkanlah mereka. Kita teruskan kerja-kerja kita. Sesungguhnya akan tiba satu hari nanti, yang mentertawakan kita itu akan menangis, yang menghina kita itu akan terhina.
Sedikit menyentuh kata-kata mereka: “ Kita patut didik anak-anak kita dengan apa yang ada pada zaman mereka”
Memang ada hadith Rasulullah SAW yang mafhumnya lebih kurang sedemikian rupa. Tetapi saya rasa, manusia-manusia yang menggunakan kata-kata itu sudah salah ‘parking’ ayat tu.
Ayat itu bermaksud, supaya kita didik generasi akan datang, sesuai dengan cabaran yang akan mereka lalui. Bukannya kita didik mereka, untuk hanyut dengan arus kerosakan yang ada pada zaman mereka. Rasulullah SAW nampak bahawa zaman akan menjadi semakin mencabar. Maka, baginda berpesan sedemikian untuk kita mempersiapkan generasi hadapan dengan persediaan yang sesuai dengan zaman mereka, untuk mereka terus mengibarkan panji kebenaran di mana pun mereka berada.
Bukannya kata-kata itu bermaksud, untuk didik generasi hadapan dengan maksiat yang ada pada zaman itu. Kalau zaman sekarang ni orang ramai minum arak, kita pun didik anak-anak kita minum arak. Kalau zaman ini orang ramai berzina, kita pun ajar anak-anak kita berzina. Saya rasa, budak tadika pun tahu benda itu salah.
Hem… Maaf saya kata, tapi kamu wahai manusia, ternyata telah mempermain-mainkan sabda Rasulullah SAW. Kamu fikir, kamu balik ke akhirat nanti, kamu akan berdiri di hadapan siapa? Manusia kah? Kita akan sama-sama berdiri di hadapan ALLAH! Pencipta kita!
Tapi, saya tetap tidak bermaksud hendak membiarkan mereka dan meninggalkan mereka begitu sahaja. Saya, jujurnya, sesen pun tidak terasa dengan hinaan atau tomahan orang.
Mungkin seronok agaknya melihat orang yang berbuat kebaikan ini berkurangan.
Tapi saya tidak kisah. Hambur apa kamu mahu. Saya tetap hulurkan tangan saya. Saya tahu saya masih banyak perkara perlu diperbaiki. Mungkin memang saya masih ada kejelakan yang boleh mengundang tawa atau tohmahan. Tetapi saya adalah manusia yang berusaha memperbaiki diri, walaupun gagal banyak kali.
Saya yakin, ALLAH itu tidak zalim dengan hamba-hambaNya, yang berusaha mendekatkan diri kepadaNya.
Dengan keyakinan ini, saya mengajak anda dan diri saya untuk kita sama-sama memperbaiki diri untuk menjadi hamba ILAHI. Saya hulurkan tangan saya sentiasa. Kalau anda dari kalangan yang mentertawakan kerja-kerja sebegini, nanti bila anda rasa hendak berhenti ketawa, maka pautlah tangan saya ini. Saya sedia menanti, dan akan terus berusaha di atas jalan ini, sehingga ALLAH sendiri menyatakan henti.
Saya tidak akan cepat lemah. Saya masih ingat kata-kata guru saya.
“ Jalan ini adalah jalan yang ditaburi duri yang terpacak”
Bukan duri yang terbaring.
Kita perlu terus dan kuat dengan kerja-kerja kita.
ALLAH bersama-sama kita.
Pasti!
No comments:
Post a Comment